Bandung, sulaman dan cerita dongeng : Hari 1

Waktu : Januari 2012

Hari 1

Selalu sahaja Kota Bandung dikaitkan dengan kota membeli belah. Tetapi , pada saya ianya lebih dari itu. Menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Bandara Hussein Sastranegara, hati berbisik kecil 'Kecilnya airport walaupun ianya adalah international airport' . Keluar sahaja, kami terus ke teksi untuk ke hotel di Jalan Cihampelas. Kami bertanya pada pemandu teksi itu apa maksud Bandara. Katanya, Bandara bermaksud Pejuang. Jadinya Bandara Hussein Sastranegara adalah Pejuang Hussein. Lebih kuranglah maksudnya begitu. Kami pergi ke sini tidak melalui pakej tetapi berjalan sendiri. Jadi, perlu disisikan bajet untuk pengangkutan dan makan. Harga tambang teksi dari airport ke hotel yang hanya mengambil masa lebih kurang 10 -15 min itu berjumlah Rp 40000. Jalan Cihampelas itu agak padat dengan deretan kedai dan kereta tolak kecil.

Kereta tolak kecil yang menjual pelbagai makanan sepanjang jalan-jalan popular
 Jalan Cihampelas agak terkenal dengan pakaian berasaskan jeans/denim dan kedai-kedai yang bermotifkan figura seperti Mr Bean, superhero, Iron Man dan banyak lagi.

Selesai urusan menyimpan beg di hotel, kami meneruskan perjalanan ke Tangkuban Perahu. Tempat yang mesti pergi kalau ke Bandung. Kami sewa van untuk sehari dengan bayaran Rp750,000. Sebelum itu kami singgah makan tengahari di salah satu restoran minang. Menariknya restoran minang ini, semua lauk akan dihidangkan dalam piring-piring kecil. Dia akan kira yang mana kita makan sahaja. Tapi semuanya disentuh/dimakan. Antaranya, dendeng, rendang daging, paru goreng, pucuk ubi celur dan tidak ketinggalan sambal hijau dan merah. Selepas makan, kami pun menyambung perjalanan. Jarak dari bandar ke Tangkuban Perahu dalam 1 jam. Melalui jalan-jalan kecil memang mencabar. Tangkuban Perahu berada di tanah tinggi. Sepanjang perjalanan ada sahaja kedai makan kecil (dikenali sebagai RM=Rumah Makan) dan kedai menjual pasir dan batu bata. Ladang-ladang Strawberi dan sayuran juga agak banyak apabila menghampiri Tangkuban Perahu. Dari jauh nampak seperti awan mendung. Saya agak seperti mahu hujan. Rupa-rupanya ianya adalah kepulan asap hitam dari kawah di Tangkuban Perahu. Bau sulfur yang kuat menyucuk hidung. Kabus. Kawah sangat jauh ke dalam. Ada tasik berwarna hijau. Selepas solat jumaat (Ada masjid kecil di atas Tangkuban Perahu), bertebaran kembali orang ramai memenuhi ruang di kedai-kedai dan perkarangan masjid. Bila hampir petang, pepatung kecil semakin banyak berterbangan. Sempat membeli satu jenis makanan dinamakan Siamay. Orang di situ kata ianya salah satu makanan orang Sunda. Terdiri dari kentang dan tauhu diletakkan kicap manis. Tak berapa kena dengan selera orang kita. Ada juga jeruk strawberi. Manis.

Kami bergerak balik ke hotel sebelum hari gelap. Sebelah malam di bandar Bandung, kami pergi makan di restoran bakso. Menarik dan menyelerakan. Berbagai menu berasaskan bakso. Selepas makan, kami terus sahaja pulang ke hotel dna berehat.

Comments

Subscribe blog saya di sini

Delivered by FeedBurner

Popular Posts