Harta yang tidak dirindui


Anekdot #1 Siri Acah-Acah Sibuk

aidarafan.blogspot.com



Redup matanya seperti meminta pertolongan. Mungkin juga bukan.
Teringat lagi semasa hadir menilai pembentangan poster, ada seorang pelajar yang tidak hadir.
 
Pelik. 
 
Tanya pada kawan-kawan lain yang ada di situ. Mana tau dia di mana. Semua kata tak dapat menghubunginya.
 
Terpaksa lah saya menulis 'Tidak Hadir' dan markah kosong.
Sayang. Projek Tahun akhir susah nak dapat markah kosong. Kecuali bila jadi begini.
 
Akhirnya saya dapat cerita, pelajar itu menggugurkan subjek Projek Sarjana Muda. 
 
Humm... 
Kan dah kena ambil pada semester yg baru pula. Bayar lagi yurannya. Kaya barangkali.
 
Mula semester yang baru, saya dapat senarai nama pelajar di bawah penasihatan akademik yang baru.
Ada nama dia!
 
Senanglah nak pantau pelajar ni. Kata hati saya.
Berdasarkan cerita dari penyelia dia yang dulu, dia tak pernah jumpa berbincnag tentang projeknya. Sekali dua masa awal-awal semester saja.
 
Semasa dia datang berjumpa, saya ambil peluang untuk berbual-bual.
 
"Macam mana perancangan kamu untuk projek tahun akhir nanti?"
 
Sempat saya bertanyakan perihal itu. 
 
"Saya pun tak tahu macamana"
 
Senangnya lah jawapan. Betah hati saya.
 
"Kamu nak supervisor yang sama atau yang lain dengan tajuk yang lain?"
 
Saya cuba bagi dia pilihan.
 
"Entahlah"
 
Eh..Dia ni nak belajar ke tak? Hati kecil saya seperti membentak.
 
"Apa kata kamu buat projek dan saya jadi supervisor kamu? Senang saya nak pantau prestasi akademik kamu sekali?"
 
"Bolehlah"
 
Selepas dia berlalu pergi, saya istighfar.
Apalah yang saya cuba buat ni. Hati ini berdetik sambil menahan kebimbangan. Saya sendiri sedang bertungkus lumus menyiapkan tesis mengejar tempoh belajar yang dah nak sampai ke penghujungnya. Ini pula menyanggupi untuk menguruskan  kes pelajar yang tak tahu ada rasa nak belajar ke tak.
 
Allahu...
 
Semester itu, dia seperti mengulang kembali sejarah yang lepas. 
Tak datang jumpa. Tak tahu apa progressnya. Sementara itu,     ada dengar-dengar juga dia datang tak ke kelas yang lain.
 
Nak kata hampa, ada juga. Sebab mesej tak dibalas. Panggilan telefon  tak diangkat. Terpaksa menghubungi ibunya untuk cari di mana dia.
 
Sebenarnya, memang nak elakkan sangat-sangat untuk menghubungi ibubapa. Sebab kesian kat ibubapa. Seperti yang saya jangka. ibunya tidak tahu keadaan anaknya sebegitu.
 
Hiba hati si ibu.
 
Dik,
kenapa lah buat macam ni, susahkan hati ibu ayah.
 
Beberapa minggu sebelum pembentangan poster, dia muncul di depan pintu bilik.
 
Allahu!
 
Saya pun segera melihatkan progressnya dan mengingatkan dia untuk datang pada hari pembentangan. Berkali-kali mengingatkannya. Alhamdulillah. Pada saat akhir dia hadir. Cuak dalam hati tidak terhitung.
 
Semester itu pun berlalu dengan jayanya.
 
Dan kini,
Masih lagi menunggu berita daripadanya. Sejak semester bermula, tidak hadir lagi ke kelas. Terpaksa lagi menghubungi ibunya. Dan, masih tiada jawapan.
 
Wahai pelajar.
Kadangkala, perlakuan yang dirasakan tidak mahu menyusahkan ibu ayah itulah 
yang akan menyusahkan hati ibu ayah kamu. Apa salahnya, ketepikan ego dan ammarah (kalau ada) dan bayangkan muka ibu ayah. Mereka bekerja membesarkan kamu.
 
Sampai hati, ikutkan perasaan sendiri dan mengetepikan perasaan ibu ayah.
Bangunlah! Walau macam mana sukar sekalipun.
 
Semasa kamu kecil, ibu ayah bangunkan jugak diri untuk masakkan makanan kamu, mandikan kamu, bancuhkan susu kamu dan macam-macam lagi.
 
Bangunlah!
Mereka ingin sangat lihat kamu naik pentas ambik scroll dan berjubah konvo. Itu jerih payah mereka. Bukan kamu.

"Boleh saya datang jumpa puan?"
 
Setelah beberapa hari menunggu khabar berita, sehingga ada rasa nak buat laporan polis disebabkan tidak dapat menjejakinya, akhirnya dia membalas mesej untuk datang berjumpa.
 
Jika sebelum ini begitu terdesak untuk berharap dia datang, tetapi kali ini melihat mesejnya dengan hati berbagi rasa. Tak berharap dan tak juga menghalau.
 
Keesokan harinya, baru saya membalas dengan kata boleh.  Sambil menantinya dengan perut yang lapar, dia datang dan duduk di hadapan dengan muka yang kosong. 
 
Ya, dengan perasaan yang kosong. 
 
Apakah dia datang kerana takut saya membuat laporan polis atau datang kerana ibunya merayu dia datang berjumpa atau apa agaknya yang sedang bermain di fikirannya. 
 
Disebabkan dia hanya duduk di hadapan, takkan saya hanya ingin memandangnya terkebil-kebil. Ini bukan perjumpaan bertenung mata!
 
Di dalam hati sudah berkecamuk suara-suara kecil untuk bertanya. Bertingkah antara satu soalan demi soalan. Tetapi, saya tak rasa soalan yang paling bagus untuk ditanya pada masa itu adalah, "apa masalah awak?". Ya, saya takkan bertanyakan itu.
 
Terus saya berkata tentang status subjek yang diambil yang nampak membebankan dia. Cuba memancing dia untuk bercerita masalahnya. Tapi hampa. Tidak ada apa-apa bunyi pun yang keluar dari mulut dia. Saya pun mencadangkan untuk dia berjumpa dengan atasan yang mungkin boleh menyusun serba sedikit subjek-subjek dia untuk semester ini.
 
Ada banyak yang diperkatakan untuk memotivasikan dia untuk hidup. Antara yang saya rasa bergenang mata juga sewaktu mengatakannya,
 
“Jika kita tak mahu ditolong, tak benarkan orang menolong kita yang kita tau sedang susah, kita sebenarnya tak percaya pun kat Allah. Kita tak percaya pun yang Allah sentiasa ada. Kita tak nak Allah tolong kita. Sebab itu kita berputus asa dengan hidup kita. Ingatlah. Kita hidup kat dunia ni kena banyak buat pilihan. Sepertimana kita kena pilih nak jalan ke syurga atau neraka.”
 
Dia masih membatu.
Entahlah. Semoga dia berfikir sesuatu. 
Entahlah...
 

 
Selepas kisah dia yang telah diberi 'ceramah' 2 minit yang menyebabkan dia membatu, dia kembali menyepi. Rasa seronok agaknya menghilangkan diri dari radar manusia. 
 
Saya fikir kalau dah tak nak belajar, dahlah. Terpulanglah. Tidak berapa lama, saya mendapat mesej daripada mak dia. Betapa berterima kasih yang tak terhingga kerana memantau anaknya. 
 
Siap solat hajat dan tahajud untuk anaknya. Luluh pula hati membacanya. Saya punya hati ibu juga. Saya pun berdoa sama seperti dia anak saya juga.
 
Dua tiga hari sebelum hari pembentangan, saya ajak untuk berjumpa. Alhamdulillah, dia setuju. Walaupun projeknya tak seberapa saya masih cakap tentang harapan.
 
Manusia sebenarnya hidup dengan harapan. Tak boleh lari. Sebab itu kita ada Allah. Kebergantungan yang paling utuh.
 
Pertama kali dia senyum yang sebenar-benar senyum. Kadangkala mengekek kecil. Itu pun sudah cukup membuatkan saya ingin mengalirkan airmata. Kata-kata ibunya dan diri sendiri bergilir-gilir memenuhi ruang fikiran saya.
 
Kemurungan itu benar. Bukan ilusi semata.
 
 

 
Beg kertas ini walaupun simple dan bukannya duit ribu-ribu tapi nilainya tak dapat dikira dengan jari.
 
Kerana yang memberinya bukan sembarangan pelajar saya tetapi pelajar yang pernah beberapa kali menggugurkan projek tahun akhir, tidak hadir pembentangan, pernah hilang jejak, jumpa tak berkata sepatah pun dan tiada ekspresi bila berjumpa. Pernah datang dan hadir tapi diam seribu bahasa.
 
Tapi inilah dia. 
 
Dan kali ini dia datang untuk hantar laporan projek tahun akhir berkulit keras. Alhamdulillah berjaya menghabiskan apa yang dia mulakan. Saya kata pada dia, tak sabar nak jumpa dia masa konvo nanti. Apatah lagi ibu bapanya. Dan saya tak ingat bila kali pertama dia mampu senyum sehingga saat ini dia tak pernah muram lagi.
 
Apabila dia menghulurkan beg kertas yang agak besar ini dan tahu dia membawanya dengan motor dari Muar ke Melaka, entah kenapa saya benar-benar terkedu. 
 
Sebak.
Terharu.
 
Dan saya baru sedar di manakah separuh lagi gaji seorang pendidik. 
Pada rasa puas melihat pelajarnya gembira kerana berjaya dan seterusnya menghalalkn ilmu yang diberi.
 
Semoga sentiasa berjaya di luar sana. 
Kehidupan kamu baru bermula.
Terima kasih kerana percayakan saya.
Semoga kita berjumpa lagi.

Sekian, melaporkan.
Aida Rafan

Comments

Subscribe blog saya di sini

Delivered by FeedBurner

Popular Posts