Aku Stalker

 Anekdot #2 Siri Acah-Acah Sibuk


Sudah berapa kali aku mengira kehadiran seorang pelajar bernama Amirul ini. 

 

“Eh, tak pernah pun sign in kehadiran sepanjang kelas bermula”

 

Disebabkan pandemik COVID-19 yang melanda dunia, cara pengajaran dan pembelajaran juga telah berubah daripada bersemuka kepada atas talian. Masing-masing berada di rumah sendiri. Seronok juga apabila kelas ditemani bunyian kokok ayam atau nyalakan anjing jiran sebelah rumah. Taklah sunyi menghadap laptop. Kebiasaannya, seperti mengajar dalam suasana sunyi sepi tanpa interaksi manusia. Semuanya mute.

 

Kali ini hanya beberapa pelajar sahaja kerana semester khas selalunya untuk mereka yang mengulang subjek atau memperbaiki gred. Disebabkan itu, mudah untuk aku menyemak kehadiran setiap kali kelas.

 

“Siapa kenal Amirul ni ye?”

Aku lontarkan pertanyaan walaupun aku mungkin mendapat jawapan tidak kerana bukan semestinya satu batch yang sama.

 

“Saya kenal, Dr”

Sahut Alia di hujung pertanyaan.

Alhamdulillah, ada yang kenal. Bisik hati kecilku.

 

“Cuma, saya tak ada no contact dia. Sebab dia selalu ulang subjek kerana gagal. Jadi semasa tahun 3 akhir ni saya dah tak jumpa dia” sambung Alia lagi.

 

“Oh, begitu. Tak apalah. Saya cuba tanya pada ketua jabatan nanti”

“Kita sambung pelajaran hari ni”

 

Seusai kelas, aku termenung sejenak.

Bagaimana nak cari pelajar ini semasa bukan semester biasa.

Aku memberitahu ketua jabatan tentang masalah kehadiran pelajar ini. Supaya ketua akan mengetahui situasi yang berlaku.

 

Kenapa kehadiran ini sangat dititikberatkan?

Pertama, menjadi tanggungjawab pelajar yang sudah membayar yuran pengajian untuk mengikuti setiap masa kelas yang telah ditetapkan.

Kedua, menjadi tanggungjawab pensyarah untuk memantau kehadiran pelajar agar dapat melahirkan tenaga kerja yang dedikasi dan disiplin.

Ketiga, ibu ayah sudah mengeluarkan sejumlah perbelanjaan untuk anak tersayang mendapat pendidikan yang terbaik agar kelak menjadi orang yang berjaya dan berguna kepada keluarga, masyarakat dan negara.

 

Nampak tak, pentingnya kehadiran ke kelas itu.

 

 

Kelas seterusnya dijalankan mengikut jadual.

Menyemak kehadiran dan sekali lagi melirik ruang kosong tanpa tanda pada nama Amirul.

Aku menghela nafas sedikit panjang.

 

“Dr, saya tanya kawan-kawan saya. Mereka beritahu yang dia ada di Instagram”

Sayup suara Alia menyatakannya seperti ianya satu rahsia. Sedangkan semua orang bersama kelas online boleh mendengar sekali.

 

Bola mataku bersinar terang.

 

“Boleh saya tahu apa akaun Instagramnya?”

Kelip-kelip mataku mengharap jawapan.

 

Alia pun menyebut akaun Instagram Amirul dan dengan pantas aku mencarinya.

 

Setelah berjumpa, aku biarkan di henfon dan meneruskan kelas dahulu sehingga selesai.

 

Selepas habis saja kelas, tak sabar aku mencapai henfon untuk menyemak akaun Instagram Amirul.

 

Uuuu... pemenang e-sport challenge. RM15,000 mock cheque dipegangnya.

Aaaa... wakil negeri ke pertandingan e-sport kebangsaan. RM10,000  hadiahnya.

Oooo... jurulatih negeri untuk e-sport. Gambar bersama-sama anak didiknya.

 

Eh... ada instagram story pula, bergeleng-geleng dengan seorang perempuan berambut panjang bermuka bujur sireh. Wujud rupanya...di alam maya. 

 

Sampai begitu sekali pensyarah perlu mencari pelajarnya, tidak di alam realiti sehinggakan ke alam maya perlu berjumpa.

 

Apa yang aku perlu buat.

Hah! Aku terfikir satu idea.

 

Pantas jari aku menulis komen di gambar terkini pos di instagram yang berbunyi,

 

Hai awak! Lama tak tanya kabar saya. Bila kita boleh berjumpa?

 

Titik.

 

 

Seperti biasa, pagi itu kelas bermula.

Terpana seketika apabila melihat Amirul ada di dalam kelas online pada hari itu.

 

Lantas, aku menyapanya dengan berbasa basi. 

“Alhamdulillah, cukup korum kita hari ni kan?”

 

Habis sahaja kelas, ada mesej masuk ke henfonku.

 

“Salam Dr. Maaf saya baru join kelas ni. Saya agak sibuk”

 

Ikutkan hati, memang nak balas... ‘pensyarah tak sibuk ke,dik’. 
Tapi, naluri seorang pensyarah yang bukan saja mengajar tapi perlu mendidik tak terkeluar jawapan sebegitu.

 

Apapun, Alhamdulillah Amirul sudah menemui kelasku walaupun perlu menjadi stalker.


=======================


Sekian, melaporkan.

Aida Rafan

Comments

Subscribe blog saya di sini

Delivered by FeedBurner

Popular Posts