#142 Antara Penyu dan Puteri Ulik Mayang : Hari 3

Hari ke-3 di negeri Terengganu, saya membawa anak-anak ke pasar payang sekali lagi kerana membawa seorang zaujah rakan incik housemate untuk window shopping di situ. Namun, sekejap saja dan singgah untuk makan juga. Selepas itu, kami terus mencari Muzium negeri. Apalah mimpi saya nak sangat pergi muzium ini. Mungkin saya nak beri pendedahan agar anak-anak tertarik dengan senibina istana melayu lama dan asal usul mereka. Melihat secara visual akan mengukuhkan lagi pengetahuan berdasarkan yang mereka lihat melalui internet.
Muzium negeri ini menyediakan entrance fee sebanyak rm5 . Lokasinya terletak di dalam Kg Losong dan tidak jauh dari Taman Tamadun Islam Terengganu. Hanya 10 minit perjalanan daripada Pasar Payang. Muzium negeri ini memang sangat besar dan berasal dari istana lama. Tiang bangunan yang tinggi dan besar. Agak jauh untuk berjalan masuk ke pintu utama. Kami perlu mendaki sebilangan anak tangga. Bagaimana kalau yang berkerusi roda ye?
Di dalam muzium terdiri daripada lima bahagian. Bahagian haiwan yang diawet, fesyen dan tekstil, petroleum dan galian, sejarah dan istana. Seperti biasa, bahagian dalam muzium agak kelam. Tak pasti memang telah digazetkan dalam polisi kerajaan atau tidak, muzium perlu muram dan kelam. Sedangkan muzium adalah tempat menyimpan warisan dan khazanah lama yang mungin generasi akan datang hanya akan mengenalinya melalui MUZIUM. Tidak bolehkah dibuat dengan menarik dan ceria? Saya cadangkan perlulah ada bajet tertentu untuk penyelenggaraan dan kreativiti MUZIUM. Janganlah asyik menambah baik bangunan moden sahaja.
Dalam banyak-banyak pameran yang disediakan, saya amat tertarik dengan bahagian istana. Selain dapat melihat sendiri aksesori-aksesori diraja dan juga istiadat diraja, disediakan juga salasilah pemerintahan kerajaan terengganu. Mata terpaku dengan syair yang indah dikarang oleh salah seorang ahli keluarga diraja. Dan juga kebanyakan kesenian dan syair dikarang oleh beliau. Saya cuba mencari siapakah gerangannya yang disebut-sebut sebagai Tengku Ampuan Mariam. Oh, rupanya beliau adalah isteri kepada Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Beliau merupakan anakanda kepada Sultan Ahmad Muazzam Shah yang merupakan Sultan Pahang. Gamelan pada asalnya dari negeri Pahang telah dibawa dan diperkenalkan oleh Tengku Ampuan Mariam ke negeri Terengganu setelah beliau berkahwin dengan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Set Gamelan kepunyaan beliau bagaimanapun disimpan di Muzium Pahang.( Tiba-tiba sangat suka pula mengikuti sejarah tentangnya..hmm)
Usai lawatan, kami melewati Kg Losong dalam perjalanan balik ke hotel. Kebanyakan gerai di tepi jalan dalam kampung itu menjual keropok goreng dan rebus. Keropok-keropok ini telah sedia dipek. Ada yang bersaiz besar dan kecil. Keropok rebus sedap dimakan begitu saja!.. (tagline Keropok Losong yang direka oleh saya yang diciplak dari iklan apa ye, dah tak ingat). Hati berbunga-bunga setelah dapat membawa balik keropok dari Kg Losong yang terkenal.
Pada sebelah malamnya pula, incik housemate saya telah membawa kami anak beranak berlegar-legar sekitar pekan kuala terengganu. Kami singgah sebentar di dataran warisan. Di sini terdapat lampu-lampu neon ala-ala i-city. Cuma tak sebanyak di shah alam. Pokok-pokok neon disusun sepanjang tepian sungai kuala terengganu. Dari tepian itu, kelihatan Hotel Riyaz Heritage yang eksklusif itu. Ada aktiviti menaiki motorsikal kecil. Anak-anak memang sangat teruja dan tak sabar untuk menaikinya. Dataran yang luas itu memang sangat sesuai untuk menunggang motosikal ini. Selepas itu, anak-anak teruja mengambil gambar di bawah pokok-pokok neon ini. Setelah penat, kami semua pun balik ke hotel.
Esok mahu pergi ke Kg Losong lagi.
Esok juga bercadang mahu ke Taman Tamadun Islam yang ada Masjid Kristal itu.
Sambung esok…

Comments

Subscribe blog saya di sini

Delivered by FeedBurner

Popular Posts