Dari pena saya yang tiada nama : Ulasan buku 'Pak Samad Di Mata Kami'





        Sebetulnya, saya tertarik untuk membeli buku ini apabila melihat pelancaran buku ini di Kinokuniya KLCC. Bersama-sama beliau adalah beberapa orang sasterawan dan bakal-bakal sasterawan. Saya menulis ini dari sisi saya yang tidak pandai bersastera mahupun ada karya saya yang memenangi hadiah mana-mana atau disiarkan di mana-mana majalah. Saya hanyalah rakyat marhaen yang 'buta sastera' dan hanya mengenali sebilangan karya sahaja. Sebetulnya saya tidak merasakan ini adalah sebenar-benar ulasan, hanyalah mungkin nota sisipan.
        Cuma saya terpanggil menulis tentang buku ini apabila ianya mengimbau kembali memori semasa saya kecil. Melihat ayah membaca novel-novel sastera dan kadangkala mendengar bunyi ketukan 'typewriter', seolah-olah seperti radio di hati. Memori. Jadi membaca buku ini bagai menyimpan satu persatu memori tentang seorang sasterawan negara A. Samad Said melalui cerita-cerita orang lain yang sewaktu dengannya. Daripada yang senior sehinggalah yang muda. Rata-rata semuanya memberitahu bahawa beliau seorang yang merakyatkan dirinya dan menulis dari bola matanya tentang isu sejagat.Tambahan pula,beliau mempunyai identiti dan penampilan tersendiri yang senang dikenali apabila terserempak di jalanan mahupun acara rasmi. Gambar-gambar yang diletakkan di setiap sebelum individu yang bercerita menarik perhatian walaupun tidak konsisten. Ianya menyebabkan saya yang bukan dari dunia sastera dapat mengenali dan berkata' Oh, ini kawan-kawan Pak Samad, Oh, ini gambar peribadi beliau...'. Jika dapat dituliskan nama atau dilabelkan gambar-gambar itu, dapat juga saya kenalkan kepada anak-anak saya satu hari nanti. Mungkin ianya disengajakan untuk tidak mengenalkan dan hanya memfokuskan pada diri beliau, jadi siapa yang bergambar dengannya itu tidak penting.
        Sepanjang pembacaan, saya disajikan dengan beberapa kisah atau petikan beberapa puisi beliau. Juga beberapa novel yang 'ever green' seperti Salina, Daerah Zeni, Cinta Fansuri dan juga judul skrip drama pentas Lantai T.Pinkie. Kata-kata hikmah yang ditulis semasa menandatangani buku juga turut dikongsi oleh beberapa orang penulis. Antaranya yang saya mengangguk-anggukan kepala ketika membacanya adalah '"Marah yang mengajar adalah lebih baik daripada pujian yang palsu" yang dikongsikan oleh saudari Rozninah Abd Azib, mantan editor majalah Dewan Sastera. Selain itu, ada juga ayat penyata yang ditulis yang membuatkan telahan saya selama ini betul iaitu " Nama besar menghalalkan banyak perkara". Justeru, saya selalu berfikir "Oh, bila dah ada nama, tak kisah apa sahaja yang dihasilkan tentulah berseni dan indah. Seboleh-bolehnya difikirkan apakah maksud yang tersirat yang ingin disampaikan walaupun puisi itu hanya empat rangkap atau cerpennya hanya seperti anekdot". Itulah persepsi saya dari dulu lagi yang menyebabkan, saya selalu merasakan sastera adalah dunia yang tanpa sempadan yang hanya mampu diharungi oleh orang-orang tertentu, yang mempunyai sejarah perkenalan atau memang berlatarbelakangkan sastera yang bertunjangkan rasa kasih pada dunia sastera itu di samping mempunyai ilmu yang teguh dan kukuh mengenai sastera. Oleh itu, jika seseorang itu ada perasaan minat pada sastera, suka menulis juga tetapi hanya bersandarkan sebatang pen dan buku nota kecil yang hanya tersempat menelaah beberapa karya sasterawan tanpa ada orang yang membimbing kerana bukan semua orang genius, tak perlulah bermimpi untuk masuk ke dunia sastera. Oh!
         Membaca tulisan saudari Zaiton Ajamain, melonggarkan sedikit ketegangan untuk menghadamkan apa yang ditulis oleh orang lain. Tulisannya yang 'segar' kerana bukan ditaip dengan komputer menyebabkan situasi pembacaan yang santai. Sebenarnya , saya memilih penulisan beberapa orang penulis muda dahulu sebelum melangkau-langkau ke penulis yang lain. Jika saudari Rebecca Ilham yang pernah berjumpa beberapa kali termasuk yang diperkenalkan itu pun, mengatakan hanya mengenali beliau dari jauh, apatah lagi saya, rakyat marhaen mungkin hanya panggilan pulau. (hahaha). Jika saudara Nazmi Yaakub menulis dari sisi kewartawanan dan awal kepengarangannya yang menyebut tentang keterpengaruhan gaya penulisannya, saya jadi sedar mempunyai idola tidak kurang penting dalam menulis yang baik. Dan semua yang menulis di sini adalah untuk menyatakan rasa kasih dan sayang serta hormat pada beliau kerana sejak dari dulu sehingga sekarang, perjuangannya tidak pernah tidak jelas atau kabur. Juga dititipkan secara tidak sedar (atau mungkin secara sedar), bahawa dunia sastera perlukan kesinambungan pemilikan semangat seperti beliau dan orang-orangnya adalah di kalangan penulis-penulis muda era masa kini.

Saya rasa seperti menunggu-nungu untuk mengetahui pada zaman anak saya, siapa pula yang diberi hadiah buku seperti ini.

Nur Aidawaty
akirahumaira@gmail.com
Mei 2012

Comments

Subscribe blog saya di sini

Delivered by FeedBurner

Popular Posts