Kembara di bumi biri-biri


Waktu: Penghujung Bulan November, 2010



Hari 1
Alhamdulillah, kami sampai di Auckland airport dah petang. Selepas ambil kereta yang telah ditempah lebih awal dari Malaysia, kami pergi mencari satu pasaraya ‘Count Down’. Kalau di sini, seperti Giant/Tesco. Kami membeli barangan keperluan untuk perjalanan kembara kami ; pampers thoriq, susu thoriq, spaghetti, macaroni, ‘garam meja’ (table salt) , roti. Terkejut saya apabla melihat halia di sini sangat mahal $11.49/kg. Selepas itu kami check in ke hotel kecil kami di pinggir Bandar Auckland. Malamnya, kami keluar semula untuk mencari makan malam. Kami mencari satu tempat makan bernama ‘Food Town’. Tetapi apabila bertanyakan penduduk di situ, rupanya tempat itu sudah diganti dengan ‘Count Down’ market. Akhirnya kami balk sahaja di hotel dan masak lempeng. 


Nota kaki: Pertama kali tengok katil bilik yang mempunyai heater di bawah cadar. Terkial-kial saya nak ‘turn off’ apabila cik abang kata panas. Setelah puas menggerodek alat heater itu, barulah saya dapat memperlahankannya. Hmm, best jugak ada heater bawah cadar. Rasa ‘warm’ je sepanjang malam.






Hari 2


Pagi ni, selepas makan pagi, kami keluar menuju ke Rainbow’s End. Tempat ini adalah seperti taman tema bagi penduduk di sini. Kawasannya agak luas dan dikenakan bayaran masuk. Agak mahal juga. Kami cuba naik satu permainan namanya Gold Rush. Kami naik satu logflume dan masuk menjelajah satu terowong arang batu yang dibawa melalui air. Dan di akhir terowong, ianya meluncur laju ke bawah. Mujur tak basah. Selepas itu, tiba-tiba hujan turun dengan lebat. Selepas beberapa ketika, apabila hujan pun dah teduh, kami masuk ke World Cadbury park. Di sini kebanyakannya untuk kanak-kanak. Amirah dan Thoriq sangat happy.

Keluar dari Rainbow’s End, kami berhajat ke perkampungan yang dinamakan Howick Historical Village tapi tersalah arah pula. Akhirnya kami menuju ke pekan Auckland. Kami terjumpa satu restoran halal ‘Lazy Cactus’.  Kami semua sangat teruja seperti dah lama tak berjumpa dengan makanan halal. Menu yang kami pesan adalah nasi , kari dan pizza. Di sebelah kedai makanan itu, terdapat kedai barang $2 dan kedai menjual daging halal. Syukur kami berjumpa dengan kedai-kedai ini. Selesai menjamu selera, kebanyakan kedai sudah tutup. Rupanya di sini, kedai-kedai ditutup seawal 4 petang.


Hari 3
Pagi ni kami pergi ke perkampungan lama orang NZ di Howick Historical village. Setibanya kami di sana, cuaca agak sejuk dan berangin. Perkampungan itu seperti ‘hidup’ kerana orang yang berada di sekitar perkampungan itu seperti memang tinggal di situ. Secara sejarah, dikhabarkan ini adalah perkampungan awal orang-orang British yang berhijrah ke NZ. Pakaian mereka memang agak ‘descent’ dan menutup aurat. Saya kira mereka ni seperti mubaligh Kristian. Melihat mereka mengingatkan saya pada satu cerita yang dilakonkan oleh Nicole Kidman ‘The Others’. Memandangkan pada waktu sudah hampir dengan perayaan Krismas, banyak aktiviti yang diadakan pada hari itu. Pelawat juga ramai. Ada demonstrasi membuat Homemade Candy, membuat hiasan pokok krismas dan lain-lain. Sebelum keluar dari situ, kami yang ‘girl’ mencuba pakaian tradisional mereka untuk bergambar. Harga sewa baju semua $5.

Selepas itu, kami bergerak ke Rotorua. Kami menginap di Union Victoria Motel. Best dan lawa. Kedudukannya betul-betul berhadapan dengan Pasaraya Count Down. Kali ini kami pergi ke pasaraya itu dan membeli biskut-biskut. Biskut yang boleh dimakan aka halal hanya berharga $1. Apalagi, kami terus memborong. Kami cari restoran halal di sekitarnya tapi tidak ada. Jadi, kami masak makan malam spaghetti dan macaroni sup. Petangnya, kami pergi sekitar Rotorua Lake. Thoriq dan Amirah sibuk mengejar seagull. Berdiri di tepian tasik Rotorua itu sangat mendamaikan. Airnya yang membiru itu sangat memukau. Anak-anak pula seronok bermain di playground berhampiran Hot Spring Lake. Di situ terdapat beberapa kumpulan kecil tasik yang terdiri dari lumpur. Sesekali ada gelegakan kecil yang terbina di atas permukaan tasik lumpur itu. Blup..blup.. Terdapat juga air panas. Selepas pukul 6 petang, Bandar Rotorua sudah sepi. Dan malam di Rotorua agak dingin.


Hari 4
Selepas sarapan pagi, kami bertolak ke Wai-O-Tapo Thermal Wonderland. Di sini, ada beberapa geothermal activities yang masih aktif berlaku. Lady Knox Geyser dan Tanpo  volcanic zone adalah di antaranya. Yang paling saya kagum, terdapat satu dataran tanah yang panas seolah-olah seperti satu tasik yang airnya mengalir. Agak luas dan ada jambatan kayu menyeberanginya. Detail tentang tempat ini telah saya ceritakan di dalam facebook saya.

Selepas itu , kami bergerak ke Tasik Taipo. Allahu Akbar. Lawanya pemandangan di sini. Agak dingin tapi ok. Singgah sebentar di kedai souvenir dan All Black. Anak-anak pula riang bermain di playground berhampiran. Selepas itu, perjalanan di sambung kembali menuju ke Hasting. Di dalam perjalanan, banyak ladang kambing biri-biri. Tapi tak ada ruang untuk berhenti melihat kambing biri-biri dengan lebih dekat.
Malam di pekan Hasting sangat sejuk. Kami pergi ke pasaraya New World untuk membeli barang-barang masak untuk makan malam. Oregano dan Sweet Basil $1.89 each. Biskut-biskut juga murah. Motel di Hasting juga agak moden dan best. Menu makan malam hari itu makaroni, sup cendawan, kari udang, asparagus goreng dan nasi putih. Yum..yum.


Hari 5
Di pekan Hasting tidak ada tempat yang menarik untuk dilawati. Ianya sebuah pekan yang kecil. Kami singgah di satu kedai pakaian dan buku-buku terpakai. Selepas itu, kami pergi ke satu puncak bukit bernama Te Mata Peak. So windy. Kami berkelah sambil makan bekal yang dibawa. Terasa bebas bila mendepangkan tangan di atas bukit ini.

Trip ini menyambung perjalanannya ke Wellington pula. Jarak antara Hasting dan Wellington adalah 300 km. Fuhh.. Pukul 6 pm waktu NZ, baru kami sampai di Capital Motor Inn Motel. Kami agak terkejut kerana tidak disediakan dapur di dalam motel. SO, macam mana nak masak? Kami pun berjalan-jalan di pekan Wellington dengan harapan dapat berjumpa restoran makanan halal tapi tidak ada. Kedai-kedai pun dah banyak yang tutup seawal 5 pm. Ayah buat keputusan untuk terus ke Christchurch pada esok hari. Kalau mengikut perancangan sepatutnya kami berada di Wellington 2 hari. Tak dapatlah kami tengok Hobbit. Kami sempat singgah di pasar raya Woolworth sebelum balik ke motel.


Hari 6
Kami checkout awal pagi kerana pelayaran mengunakan feri untuk merentas dari wellington ke picton adaah seawal 8 pagi. Sampai di pelabuhan, saya agak terpana melihat feri yang sangat besar dan cantik. Dah macam kapal Titanic. Tingkat atau disebut Deck 3 adalah untuk parkir kenderaan. Penumpang mesti berada di deck 5 , 6,7. Feri yang diberi nama Interislander ini memang sangat mengujakan. Kami pun berehat di Deck 7. Di sini, kami ada berjumpa dengan orang Malaysia. Mereka pun sedang berjalan-jalan di NZ.

Sampai di Pelabuhan Picton, kami mencari tempat di satu taman berhampiran untuk makan bekal. Kami tinjau tempat yang teduh. (Dah terbiasa di Malaysia untuk duduk di tempat yang teduh) tapi akhirnya kami menggigil kesejukan. Terpaksa kami duduk di tempat yang ada cahaya matahari. Hahaha... Barulah rasa seimbang dan tak sejuk sangat. Dari Picton, kami terus ke Christchurch selama lebih kurang 4 jam perjalanan. Aduhai, lamanya.
Di Christchurch, kami akan menginap di Christchurch motel selama 3 malam.


Hari 7
Selepas sarapan, kami bersiap-siap untuk berjalan di sekitar Christchurch. Bandarnya agak sibuk sedikit dan suasananya tidaklah terlalu dingin. Kami pergi ke Antartic Centre berhampiran dengan lapangan terbang Christchurch. Di sini dipamerkan suasana di antartika yang berhampiran dengan NZ. Baru saya sedar apabila melihat peta dunia. Ada juga penguin yang memang hidup di antartika untuk dilihat sendiri oleh pengunjung. Tiket masuk ke Antartic Center ini agak mahal.

Selepas itu kami ke Carthedral Square. Ada seperti pasar tani yang menjual macam-macam barangan seperti barangan seni, baju, accessories, makanan dan lain-lain. Ada seorang penglipur lara sedang memanjat tangga (tapi kelihatan seperti batu tinggi) berpakaian seperti ahli nujum/sihir sedang berkata-kata di tengah-tengah carthedral square itu. Berhampiran dengan dataran ada perhentian tram. Sesekali, saya dapat melihat tram yang lalu di situ. Tapi, kami tak naik sebab tiketnya agak mahal juga.

Kami singgah makan di satu kedai makan halal ‘Taste of Bengal’. Ianya dimiliki oleh seorang Pakistani. Menu: nasi, kurma ayam, kari kambing dan kari ayam. Kami pesan juga unu dibawa balik ke motel ; nan dan kari kambing. Sebelum balik ke motel, kami singgah sebentar di Botanical garden. Tapi disebabkan hujan, kami terpaksa beransur pulang. Awal pagi esok, kami akan singgah kembali.


Hari 8
Pagi lagi, kami sudah keluar berjalan-jalan di Botanical garden. Taman bunga ini dipenuhi dengan pelbagai spesis bunga Ros. Saya agak kagum dengan keindahan bunga Ros di sini yang agak besar. Yang paling menarik ada spesis Bunga Ros Sirap dan ianya berbau sirap!. Selain dari itu terdapat juga pokok-pokok yang berusia berabad lama. Rasa damai di taman ini. Boleh berbaring di atas rumput yang menghijau dan berguling-guling(applicable to anak-anak).

Selepas itu, kami naik sampan klasik. Namanya punting (sebutannya pan-ting). Orang yang mengemudinya juga berpakaian agak klasik. Seluar yang bertali di atas dan topi besar bersama satu kayu panjang dan berdiri di hujung sampan itu. Leka juga saya mengamatinya. Kami dibawa mengelingi taman botani itu selama lebih kurang 30 min. Melihat kehijauan dan airnya yang jernih dan tenang dengan kumpulan itik yang berenang agak mendamaikan. Seusai itu, kami berehat sebentar di kafe yang berhampiran, memesan 2 cawan kopi yang dihidangkan bersama marshmallow. Seronok rasanya bersantai di tepi air sungai ini. Sebelum balik ke motel, kami sempat singgah di salah satu kedai dikenali sebagai Farmers. Saya membeli baju kanak-kanak kerana dijual separuh harga!

CIk Abang dan ayah pula akan pergi solat Jumaat di masjid Christchurch yang terletak berhampiran. Saya dan mama pula memasak di motel. Selepas mereka pulang dari solat dan makan tengahari, kami keluar ke satu pusat membeli belah “Westfield’. Anak-anak sempat menikmati aiskrim Manuka Honey dan ianya halal.


Hari 9
Dari Christchurch, kami bertolak ke Queenstown. Perjalanan yang agak jauh memang agak meletihkan. Seingat saya, kami ada melalui satu jalan yang diapit dengan dua bukit. Di kanan jalan, terdapat satu sungai yang agak deras airnya. (sesuai untuk rafting tapi sangat deras). Cuma, saya agak kagum dengan keindahan panorama di situ. Bukit itu agak vertical di tepi jalan, sesekali saya agak seriau. Akhirnya, lewat petang baru kami tiba di Queenstown. Subhanallah. Kagum dengan keindahan alam, saya memanjatkan syukur kerana diberi peluang ke sini. Sebelum malam menampakkan diri, kami pergi membeli barangan untuk dimasak selama 2 hari di sini. Kami berjumpa dengan orang Malaysia juga di sini. (Sebenarnya agak ramai bilangannya). Selepas makan malam, kami tidur keletihan.


Hari 10
Pagi di Queenstown agak dingin (tapi tidak sedingin di Hasting). Dari motel, kelihatan cable car naik ke puncak bukit Queenstown. Queenstown merupakan tempat yang paling panas di NZ semasa summer. Ada satu tasik yang sangat luas, Tasik Wakatipu. So lovely, kerana semua rumah di situ yang dibina di atas lereng bukit hingga ke puncaknya , mengadap  ke tasik itu. Ini telah mewujudkan satu pemandangan yang unik dan indah. Di tasik itu pula, ada satu kapal wap yang belayar dan dikenakan tiket yang mahal. (Semuanya yang bersifat pelancongan di NZ mengenakan tiket yang mahal!)

Kami menuju ke satu tempat rafting/shootover jet di satu tempat di queenstown. Tapi kami hanya melihat-lihat sahaja. Selepas itu, kami ke pekan lama, pekan Arrowtown. Satu masa dahulu, pekan ini agak terkenal dalam mengusahakan coklat. Di dalam perjalanan ke sana, kami boleh nampak pelbagai spesis kambing biri-biri berkeliaran di lereng-lereng bukit di situ sambil makan rumput. Sangat comel. Di pekan ini, terdapat beberapa kedai yang menjual pakaian dari bulu kambing biri-biri. Amirah dan Thoriq pula riang menkmati minuman milo panas bersama sekeping coklat. Selepas itu, kami ke tepian tasik Wakatipu untuk menikmati makanan tengahari dari bekal yang dibawa. Sangat mendamaikan apabila dibentangkan pemandangan yang memukau dari tasik itu. Terdapat juga penduduk di situ sedang berkelah dan berenang. Selepas makan, saya pergi sebentar di gigi air tasik untuk merasakan air tasik itu. Nyatanya, air tasik itu sangat sejuk. Bagaimana mereka boleh mandi manda di tasik ini.

Kami singgah sebentar di pasar raya New World. Kami berjumpa dengan seorang warga arab. Dia memberitahu yang ada satu gerai menjual kebab di antara deretan kedai di pekan queenstown. Kami pun pergi mencari dan berjumpa dengan kedai tersebut. Alhamdulillah. DI situ, kami juga berjumpa dengan beberapa pelajar Malaysia yang sedang belajar di Sydney datang bercuti di sini. (Wah.hebatnya) Kami membeli beberapa kebab dan makan di tepi tasik.


Hari 11
Terasa berat melangkah pergi meninggalkan Queenstown. Kami menyambung perjalanan ke Invercargill. Dalam 4 jam perjalanan. Dan ianya satu perjalanan yang jauh. Semuanya sudah keletihan. Sesampai di Invercargill, ianya merupakan pekan yang kecil dan tenang. Sama seperti Hasting. Mama kata, rekabentuk bangunan dan susun atur seperti di Liverpool, UK. Selepas menurunkan semua bagasi di motel, kami ke pekan untuk mencari keda menjual kebab Turkish. Akhirnya kami berjumpa dengan kedai tersebut. Di hadapannya, terdapat kedai-kedai menjual barangan pakaian, cenderahati, kasut dan lain-lain yang agak murah. Sebelum malam, kami balik ke motel dan berehat.


Hari 12
Seusai makan pagi, kami bergerak menuju ke satu tempat yang bernama Bluff, the tip of southland of NZ. Pemandangan di situ sekali lagi amat menakjubkan. Dengan airnya yang biru kehijauan dan sesekali bot kecil belayar di atasnya, sangat memukau. Wah.. sangat hebat ciptaan Allah. ‘Yang manakah nikmat-Nya yang kamu dustakan..’  Satu masa dahulu, tempat ini merupakan pelabuhan yang sangat sibuk tetapi kini tidak lagi. Hanya burung-burung yang berterbangan menemani daerah pencil ini.

Kami menuju ke destinasi seterusnya,Dunedin. Di pertengahan jalan, kami berhenti sebentar di tandas awam. Terdapat satu tasik berhampiran dengan tandas tersebut. Yang uniknya, terdapat satu gelongsor dan platform untuk terjun ke tasik di tengah tasik. Saya ingatkan dahulu tempat ini merupakan dataran dan akhirnya ditenggelami oleh air. Rupa-rupanya sangkaan saya meleset. Memang gelongsor dan platform itu dibina sebagai kemudahan orang yang mandi manda di tasik itu.
Selepas itu, kami berjumpa pula dengan satu gerai menjual ikan atau Fish Shop. Jadi, kami pulun beli fish and chip dan kepala ikan salmon yang berharga 50 cents seketul. Seronoknya.. boleh masak kari kepala ikan salmon. Setelah 2 jam memandu, akhirnya kami tiba di Dunedin. My first impression is cantiknya struktur bangunan di sini dan suasananya agak gloomy dan cold. Bandarnya mirip Bandar Edinburgh, UK. Agak moden dan sibuk. Sampai di motel, kami mengemas masuk barang-barang dan menikmati fish and chip yang dibeli. Memang lazat. Selepas itu, kami keluar balik untuk bersiap-siar di Bandar Dunedin. Kami pergi ke satu kilang Cadbury. Mama tak sihat kerana mengalami sore throat yang teruk. Manakala, thoriq dan Amirah enjoy the visit at Cadbury World. DI situ, kami dikumpulkan dalam satu kumpulan kecil dan dibawa melawat ke seluruh kilang di samping memberitahu tentang bagaimana coklat Cadbury itu dihasilkan. Kami diberi banyak coklat tapi hanya beberapa keping sahaja yang boleh dimakan. LOL

Berhampiran dengan motel kami, terletaknya Universiti Otago. Uniknya universiti ini adalah bangunan fakultinya yang dibina seolah-olah di’blend’ di dalam bandar Dunedin. Bandar Dunedin juga agak gloomy dan sangat sejuk. Kami pergi ke pasaraya Warehouse. Barangan yang dijual agak murah. Kasut dan sandal hanya $10 hingga $20. Saiz 10 pun berlambak. Saya pun membeli sepasang dua untuk diri sendiri dan anak-anak. Anak-anak pula gembira bila mendapat kasut but. Terfikir juga, di Malaysia bukannya ada salji untuk dipakai but itu nanti. Tapi, mungkin boleh dipakai waktu ke kebun.


Hari 13
Masa kembara dah hampir ke penghujungnya. Pagi seusai makan pagi, kami singgah sebentar melawat Larnach Castle. Istana lama di Dunedin. Taman bunga di sekeliling istana yang kehijauan seperti di dalam cerita-cerita dongeng, cinderella dan alice in wonderland. Saya berdiri di tengah-tengah satu platform yang bumbungnya separa bulat, dihias dengan kaca berwarna-warni. Saya saja-saja menyanyi dan saya dapati suara saya bergema. Wah...bestnya. Ada pagar rumput yang tinggi dan apabila saya bersandar kepadanya, saya seolah-olah sedang berbaring di atasnya. Dari taman bunga itu, sayup kelihatan bandar Dunedin dan laut lepas kerana Dunedin adalah negeri yang paling ke bawah dalam peta NZ. Kalau guna teropong mungkin boleh nampak antartika. Dah dekat sangat.

Selepas sesi lawatan , kami beransur pulang ke Christchurch. Perjalanan balik ke Christchurch kali ini melalui pantai Moeraki Builders. Menariknya pantai ini adalah dikatakan sekali-sekala akan ada duyung yang berehat di sini. Kami tak ke pantai, hanya melihat-lihat dari atas bukit. Suhu pada masa itu tersangat sejuk ditambah dengan angin. Saya agak mungkin dalam 3-4 darjah celcius. Kami berhenti makan juga di salah satu perhentian di tepi jalan. Tangan saya hampir pucat kerana kesejukan dan kebas. Tak dpat nak menggenggam makanan untuk disuap. Sangat best pengalaman ini. Sesampai di Christchurch, ayah terus pergi membeli tiket kapalterbang ke Auckland pada esok hari.


Hari 14
Sebelum ke airport CHristchurch, kami pergi ke shopping mall Westfield. Hanya berjalan santai menghabiskan masa. Mungkin juga untuk meng’grab’ buah tangan untuk dibawa balik. Selepas hantar kereta sewa di Apex, kami naik flight dari christchurch ke auckland. Kapalterbangnya agak kecil dan sempit. Sampai di Auckland, kami hanya menunggu sebentar untuk naik flight ke Melboune pula. Kami solat di airport Auckland, di satu sudut. Semasa ini, kami mengaplikasikan solat semasa musafir, hanya memakai pakaian sedia ada dan kot untuk solat. Agak manis pengalaman itu untuk dikenang.

Sampai di Melbourne sudah hampir pukul 10 malam. Banyak kedai yang sudah tutup. Tinggal kedai serbaneka dan sebilangan kedai kopi sahaja. Kami harus menunggu sehingga pukul 3 pagi untuk meneruskan penerbangan ke Malaysia. Semasa ini, ramai pelajar Malaysia yang naik bersama-sama.


Hari 15
Akhirnya , kami selamat sampai di Malaysia. Ah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Lebih baik di negeri sendiri. :)

Comments

Subscribe blog saya di sini

Delivered by FeedBurner

Popular Posts